Ganja atau juga disebut sebagai kanabis (Arab: al-Qanb) merupakan sejenis tumbuhan yang diciptakan Allah sebagai salah satu tumbuhan yang hidup melata di atas muka bumi ini mempunyai pelbagai cerita. Apabila kita membicarakan tentang ganja, kita terbahagi kepada dua persimpangan jalan yang berbeza. Yang pertama adalah ganja sebagai salah satu medium yang digunakan untuk membuatkan seseorang menjadi khayal atau memabukkan. Kedua ganja sebagai medium ubatan semulajadi bagi membantu umat manusia menjalani dan meneruskan kehidupan harian mereka.
Artikel ini ingin menyentuh ganja dari sudut kedua, sekaligus ingin mengajak pembaca menilai perihal kebaikkan ganja dari sudut perubatan terutamanya dari sudut pandangan Islam.
Seperti mana ramai yang maklum, ganja memiliki dua jenis kandungan utama iaitu, THC (Tetrahydrocannabinol) dan juga CBD (Cannabidiol). THC merupakan salah satu kandungan dalam ganja yang boleh menimbulkan rasa khayal bagi pengguna. Manakala CBD pula adalah kandungan yang tidak mengkhayalkan walaupun diambil dalam dos yang tinggi. Namun, kedua-dua kandungan ini mempunyai 1001 kebaikkan dalam bidang perubatan.
Ramai dari kalangan masyarakat awam hanya melihat bidang perubatan dari kaca mata Barat semata-mata terutamanya pandangan ahli-ahli farmaseutikal dan umum kita lupa, bahawasanya bidang perubatan Barat itu sendiri sebenarnya banyak yang mengguna-pakai kaedah dan penemuan ilmuan Islam terutama dari sudut perubatan, matematik, ilmu falak / astronomi dan lain-lain lagi.
Umum mengenali ganja dari sudut negatif sahaja kerana telah ‘disuap’ selama berpuluh tahun tentang keburukkannya, terutamanya di Malaysia ini. Sudah sampai masanya kita melihat dari sudut lain pula dan mengubah stigma negatif umum yang menganggap tumbuhan ini sebagai dadah semata-mata, kerana ia juga turut mempunyai kebaikkan dan manfaat bagi kegunaan manusia. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia (tanpa ada sebarang kebaikkan).
Sebagai contoh, Allah menciptakan buah-buahan seperti anggur, buah tamar dan buah-buahan asli yang lain sebagai salah satu nikmat makanan dan minuman yang enak untuk manusia (apabila dibuat sebagai jus minuman). Semua buah-buahan yang disebutkan ini adalah tidak haram, melainkan ianya telah melalui proses fertilasi dan dimasukkan alkohol yang mengubah kondisi jus buah-buahan itu tadi menjadi arak yang jelas haram kerana menimbulkan khayal serta memabukkan.
Berbeza dengan penggunaan bunga popi yang menghasilkan heroin dan juga morfin sebagai ubatan tahan sakit (pain-killers) yang digunakan secara meluas dalam perubatan moden hari ini, ganja masih lagi tersenarai sebagai salah satu dadah narkotik dibawah Akta Dadah Merbahaya 1952 di Malaysia. Walhal kedua-dua jenis tumbuhan ini telah digunakan sejak beribu tahun dahulu lagi sebagai ubat-ubatan semulajadi yang mampu memberi kelegaan kepada pesakit (jika tidak) mampu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.
Di dalam lembaran sejarah umat manusia, telah tertulis bahawasanya ganja atau kanabis telah digunakan sejak zaman berzaman sebagai salah satu medium dalam perubatan (selain dari hal yang pertama tadi). Perihal ganja ini bukan hanya direkodkan dalam penemuan-penemuan perubatan kuno, bukan sahaja sejak zaman Mesir, Babylon dan Yunani purba lagi malahan penggunaannya yang meluas dalam bidang perubatan tradisional sehingga ke Afrika, China dan India purba. Hal ini turut mendapat tempias dan turut dicatatkan dalam kitab-kitab perubatan Islam sendiri ketika era kemuncak kegemilangannya.
Bertepatan dengan Firman Allah dalam Surah Asy-Syu’araa (ayat 7 & 8) yang bermaksud;
اَوَ لَمۡ یَرَوۡا اِلَی الۡاَرۡضِ کَمۡ اَنۡۢبَتۡنَا فِیۡہَا مِنۡ کُلِّ زَوۡجٍ کَرِیۡم
اِنَّ فِیۡ ذٰلِکَ لَاٰیَۃً ؕوَ مَا کَانَ اَکۡثَرُ ہُمۡ مُّؤۡمِنِیۡنَ
“Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman.”
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاء فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Dan Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di atas muka bumi.” (Surah al-Baqarah; ayat 29)
Pokok ganja atau kanabis telah terkenal sejak turun-temurun sebagai ubat dan juga penawar kepada banyak jenis penyakit. Antara yang kerap ditemui melalui kajian moden (selain dari penulisan lama), ganja atau kanabis ini ditemui berupaya melawan kanser, merawat gout, melawan anxiety, melawan sakit kronik, mencegah diabetes, merawat depresi, meredakan tahap autisme kanak-kanak, menyihatkan sistem paru-paru, merawat tulang yang patah, rawatan bagi Glaucoma, melawan Alzheimer, mampu mengurangkan getaran pesakit Parkinson, melawan Epilepsi serta banyak lagi kebaikkannya.
Di antara ilmuan Islam terkenal yang menulis tentang ganja ketika zaman kemuncak Islam, adalah Abu Ali al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau kebiasaannya dikenali dengan nama Ibnu Sina (Avicenna). Beliau yang lahir pada tahun 980 dan meninggal dunia pada 22hb Jun 1037, dinobatkan oleh ilmuan Barat sebagai seorang ahli Fizik berbangsa Arab-Parsi yang terulung dalam sejarah dunia selain diiktiraf Barat sebagai seorang Ahli Falak, Ahli Teologi, penulis dan Ahli Fikir. Karya beliau di dalam kitab “al-Qanun Fi al-Tibb”, jilid dua (Canon of Medicine, Book II) turut menyentuh tentang kebaikkan, kelebihan dan manfaat ganja di dalam bidang perubatan selain dari kemampuan tumbuhan ini untuk mengubati beberapa jenis penyakit kronik.
Selain dari Ibnu Sina, antara ilmuan Islam lain yang menulis tentang ganja adalah Abu Bakar Muhammad Zakaria al-Razi (860 – 940) atau lebih dikenali sebagai ‘Rhazes’ di Eropah di dalam jurnal beliau yang terkenal iaitu “al-Hawi al-Kabir” (The Comprehensive Book on Medicine). Manakala sebelum al-Razi, Abu Yusuf Ya’akub al-Kindi (801 – 873) lebih awal lagi di dalam bukunya “Medical Formulary of al-Kindi” turut menerangkan penggunaan ganja dalam merawat sengatan kala jengking, merawat sakit gigi, bengkak, kekejangan otot, sakit perut, masalah kencing, tonik dan tenaga batin.
Dalam Islam, bidang perubatan dan pengamalannya dipraktikkan mengikut tuntutan Syara’ dan Maqasid Syariah selain dari kaedah-kaedah Fiqh yang berkaitan dengan bidang perubatan. Ulama’ dunia pada era kegemilangan Islam sepakat mengatakan bahawa; “semua Mazru’at (iaitu tumbuh-tumbuhan) atau bahan semulajadi yang ada di muka bumi itu adalah halal dan boleh dimanfaatkan, kecuali yang mengandungi ‘Khobaits’ (yang memiliki sifat tercela, menjijikkan dan sebagainya), keburukkan atau bahaya.”
Pada umumnya didapati, tidak ada sebarang dalil atau sebarang ketetapan khusus atau pun apa-apa bentuk larangan penggunaan ganja dalam bidang perubatan Islam sejak dahulu lagi melainkan Qiyas (analogi) pengharamannya yang difatwakan oleh ulama’ terkemudian (ulama’ moden) seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dan lain-lain yang mencetuskan aliran Wahhabiyah (Wahhabi) pada era kemudiannya.
Seperti mana semua umat Islam sedia maklum, di dalam Islam itu mempunyai beberapa jenis Mazhab / sektarian dan artikel ini ditulis berdasarkan Mazhab umum Malaysia iaitu Mazhab al-Imam as-Syafi’e. Semua umat Islam di Malaysia juga sedia maklum, di dalam Islam itu mempunyai beberapa jenis hukum iaitu: Hukum Sunat, Makruh, Haram, Wajib & Harus. Beberapa ulama’ dan ilmuan awal telah mensabitkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan sebagai ‘Harus’ terutamanya di dalam Mazhab Syafi’e. Perlu diingatkan pembaca, bahawa setiap hukum di dalam Islam itu didirikan melalui 4 kaedah iaitu: al-Quran, hadis Rasulullah SAW, qiyas (analogi) dan juga itjma’ iaitu kesepakatan Ulama’ apabila tidak ditemukan sebarang dalil dari al-Quran mahupun hadis-hadis dari Rasulullah SAW sendiri.
Di antara ulama’-ulama’ tersohor dari Mazhab Syafi’e, al-Imam an-Nawawi menaqalkan dari Imam ar-Ruyani yang menyatakan; “Tumbuh-tumbuhan yang memabukkan haram memakannya, akan tetapi tidak dikenakan hukuman ‘had’ (hudud) ke atas orang yang memakannya. Namun hukum haram memakan tumbuh-tumbuhan yang memabukkan atau mengkhayalkan itu terdapat pengecualian bagi beberapa keadaan khususnya bagi tujuan perubatan.” Imam an-Nawawi mengharuskan (mustahabb) penggunaan ganja dalam bidang perubatan melalui kitabnya “al-Majmu’ dari Imam ar-Ruyani”, jilid 9, mukasurat 30. Ianya turut ditulis dalam kitab “al-Fiqhul al-Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’e” yang diselengara oleh Dr Musthafa al-Khin dan Ali Syarbaji, jilid 3, mukasurat 84-85.
Universiti al-Azhar di Mesir juga turut mengeluarkan fatwa melalui Dr Muhammad Wasil dan itjma’ Majlis Ulama’ mereka dengan mengharuskan pengunaan ganja dalam bidang perubatan pada tahun 2003.
Di Malaysia sendiri suatu bentuk pandangan telah dikeluarkan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2019 melalui Mufti Negeri, Dr Wan Salim Mohd Noor yang mengatakan bahawa “Penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus, jika tidak mengancam keselamatan.” Walaupun demikian, Mufti Pulau Pinang itu berkata kajian terperinci perlu dilakukan oleh mereka yang pakar bagi membuktikan keberkesanannya jika tiada pilihan lain yang lebih baik.
Di dalam laporan Penyelidik Neurosains Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menyebut, ganja antara lain mampu meransang pembentukkan saraf otak yang sudah mati. Ketua Penyelidik mereka, Professor Madya Dr Mohd Aris Mohd Moklas yakin bahawa ganja boleh digunakan dalam merawat penyakit berkaitan sel saraf otak seperti nyanyuk.
Dekan Perubatan Universiti Malaya (UM) pula, Professor Dr Adeeba Kamarulzaman membuat perbandingan dengan berkata, sekarton rokok lebih berisiko memudaratkan kesihatan berbanding 200 gram ganja.
Dalam satu laporan yang ditulis oleh Berita Harian pada Januari 2019 menyebut, Pensyarah Kanan Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Professor Madya Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata “Sesuatu yang haram itu menjadi harus apabila tidak ada pilihan lain untuk mengubat apa-apa penyakit. Ianya dibenarkan dalam Islam selagi tidak ada yang lebih baik dan diperakui halalnya.”
Berbeza dengan arak yang jelas diharamkan serta dilarang penggunaan dan pengambilannya di dalam al-Quran dan hadis, tumbuhan ganja masih lagi menjadi perdebatan di kalangan para sarjana dan juga ulama’ dunia kerana tidak ada nas ataupun dalil khusus mengenainya terutamanya dalam bidang perubatan.
Walaupun demikian, jumhur ulama’ dunia sepakat mengeluarkan itjma’ mengatakan bahawasanya jika diambil atas tujuan (selain dari perubatan) iaitu mencari keseronokkan atau mengkhayalkan atau memabukkan, maka ianya jelas haram.
Bertepatan dengan firman Allah di dalam al-Quran yang menyebut:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وكُلُواْ وَاشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُواْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“Makan dan minumlah kamu, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” – (Surah al-A’raaf; ayat 31).
Lebih terperinci, para Fuqaha ulama’ Mazhab Syafi’e meletakkan tiga keadaan yang mengharuskan penggunaan ganja iaitu:
- Ketika Darurat – Dalam keadaan darurat kerana ketiadaan makanan ataupun untuk menyelamatkan badan atau nyawa dari maut.
- Untuk tujuan perubatan – Diharuskan pengambilannya apabila tiada ubat lain dan pesakit itu amat memerlukannya. Namun para Ulama’ mensyaratkan; ciri-ciri yang memabukkan atau mengkhayalkan yang terdapat pada bahan tersebut telah hilang.
- Dalam pembedahan – Diharuskan pengambilannya apabila pesakit yang dibedah tidak berupaya menanggung kesakitan jika tidak diberikan kepadanya. Dalam hal ini tidak ditegah menggunakannya sama ada melalui suntikkan, diminum atau pun sebagainya. Ini kerana kesakitan yang melampau dikira sebagai suatu bentuk ‘darurat’ menurut pandangan Syara’.
إِنَّ اللّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
Di dalam satu hadis Rasulullah SAW, Baginda menyebut: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan mu dalam perkara yang diharamkanNya ke atas kamu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam at-Thabrani dalam “al-Jami’ as-Saghir”, (hadis no. 1773).
Wallahua’lam bissawab wailayhi marji’ul wal maab.